KOTA TINGGI – “Wajah arwah isteri kelihatan begitu cantik dalam panggilan video. Saya pelik isteri saya itu tidak pernah buat panggilan video sebelum ini. Saya sempat usik isteri, minta dia ucap I love you tetapi dia malu.
“Namun beberapa minit kemudian, anak saudara hubungi saya beritahu, isteri dan anak saya lemas. Saya bergegas dari rumah kami di Ulu Tiram ke pantai.”
Demikian cerita suami kepada wanita yang lemas di Pantai Bayu Impian, Bayu Damai di sini semalam, berkenaan panggilan video dibuat isterinya sebelum insiden lemas berlaku.
Abu Mansur Ahmad Musa, 43, berkata, panggilan video yang diterima daripada Siti Fatimah Jaafar, 33, pada pukul 5 petang itu adalah pertama kali dibuat isterinya dengan wajah berseri-seri.
Sebelum itu, Siti Fatimah dan anak saudaranya Nur Arisya Hanan Mohd Salleh, 13, dilaporkan lemas, manakala empat lagi terselamat selepas mereka mandi di pantai berkenaan pukul 5 petang semalam.
Abu Mansur memberitahu, dia bersama-sama isteri dan tiga anak berusia 8 hingga 12 tahun serta kira-kira 20 ahli keluarga pergi ke chalet di pantai tersebut kelmarin untuk bercuti.
Bagaimanapun, Abu Mansur yang juga peniaga dalam talian terpaksa pulang ke rumah untuk mengambil barang perniagaan di rumah mereka pada tengah hari.
Menceritakan kisah tragis kejadian terbabit, Abu Mansur berkata, isterinya sedaya upaya menyelamatkan anak lelaki kedua mereka berusia 10 tahun yang dipercayai lemas terlebih dahulu.
“Tetapi selepas anak selamat, isteri saya pula tidak dapat diselamatkan dan ditemui tidak sedarkan diri.
“Saya cuba menenangkan anak sulung dan meminta anak saya menerima takdir illahi ini. Buat masa keadaan anak kedua di Hospital Kota Tinggi stabil dan telah dipindahkan ke wad perubatan biasa,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia berkata, isterinya ada berpesan kepada anaknya agar menjaga adik bongsu yang merupakan anak kurang upaya (OKU) autisme.
Sejak beberapa minggu lalu katanya, Siti Fatimah menangis berdoa dan berpesan kepada dua lagi anak lelakinya agar menjaga Khalifah yang merupakan anak bongsu mereka.
“Anak-anak dipeluk erat isteri selepas selesai solat berjemaah. Biasanya selepas kami sekeluarga solat berjemaah pada waktu malam,” katanya.
Abu Mansur memberitahu jenazah isterinya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru petang ini.- MalaysiaGazette