KUALA LUMPUR – Seramai 80 kanak-kanak masih berada di institusi kebajikan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), manakala lima kanak-kanak telah diserahkan kepada Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sebahagian besar kanak-kanak itu sudah dikembalikan kepada keluarga masing-masing selepas proses penilaian.
“Setakat ini, seramai 475 kanak-kanak telah diserah kepada keluarga mereka, dan baki kanak-kanak lain masih di institusi atau di bawah penjagaan OYLS atas arahan mahkamah.
“Manakala daripada jumlah keseluruhan 560 orang, enam kanak-kanak perlu kekal di institusi kebajikan untuk tempoh tiga tahun atas arahan mahkamah.
“Ini melibatkan faktor seperti latar belakang keluarga atau isu undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melancarkan Program Sanjungan Ilmu Anjuran Institut Sosial Malaysia (ISM), di sini, hari ini.
Dalam pada itu, 74 orang pula telah diletakkan sementara di bawah institusi kebajikan.
“Kami telah berhubung dengan ibu bapa kanak-kanak ini, namun ada yang tidak dapat mengambil mereka atas sebab tertentu.
“Peranan kami adalah melindungi dan menjaga mereka sementara menunggu penyelesaian terbaik. Sebagai ibu bapa, keutamaan harus diberikan kepada anak-anak mereka,” tambahnya. – MalaysiaGazette