PTimbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberikan ucapan pada Konvensyen Pegawai Lapangan RISDA 2025 di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 23 JANUARI 2025.

BANGI – Sektor getah perlu dijadikan sebagai satu bidang yang menarik kepada generasi muda menerusi penggunaan teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI), automasi dan inovasi ladang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, bagi tujuan itu Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) perlu berani keluar daripada cara lama.

“Bayangkan ladang getah yang menggunakan IoT, dron untuk meningkatkan produktiviti, dan e-dagang yang menghubungkan pekebun kecil terus ke pasaran global…ini bukan sekadar perubahan, ini adalah revolusi industri getah yang kita semua dambakan.

“Saya yakin dengan semangat, dedikasi dan komitmen anda semua (warga RISDA), kita bukan sahaja mampu mengatasi cabaran yang ada, tetapi juga membawa industri getah Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Pegawai Lapangan RISDA Tahun 2025, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, cabaran menjadi semakin mencabar apabila purata umur pekebun kecil kini mencecah 61 tahun.

Justeru katanya, penglibatan anak muda menjadi semakin penting dan jika ini tidak dilakukan siapa lagi yang akan meneruskan legasi industri getah dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang.

Ujarnya, realiti itu tidak boleh kita pandang enteng sebaliknya, pekebun kecil tidak boleh dibiarkan berjuang sendirian.

“Kita memerlukan tindakan drastik, menyeluruh, dan berkesan untuk memperkasakan komuniti ini.

“Kita mesti membangunkan strategi yang mampan, progresif dan inklusif, bukan sekadar penyelesaian jangka pendek, tetapi pelan tindakan yang benar-benar memberi impak kepada kelangsungan hidup mereka,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here