GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa petani agar berhenti menggunakan sungkup plastik dalam pertanian dan menggantikannya dengan bahan organik.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, sungkup adalah lapisan bahan yang digunakan di permukaan tanah untuk mengekalkan kelembapan, meningkatkan kesuburan tanah serta mengurangkan pertumbuhan rumput.
Jelasnya, sungkup plastik kini menjadi salah satu sumber utama pencemaran mikroplastik dalam ekosistem pertanian memberi kesan buruk terhadap alam sekitar dan menimbulkan risiko kepada kesihatan manusia.
“Secara tradisional, sungkupan dilakukan menggunakan daun kering, ranting pokok, jerami padi, potongan rumput kering, kulit kayu dan bahan organik lain.
“Namun, sejak pengenalan sungkup plastik pada tahun 1950-an, ia telah menjadi komponen penting dalam pertanian moden dan memberi ancaman besar terhadap kesihatan dan alam sekitar.
“Jadi, sempena Bulan Sifar Sisa Antarabangsa, CAP ingin meningkatkan kesedaran tentang kesan penggunaan sungkup plastik dalam pertanian,” katanya hari ini.
Mengulas lanjut Mohideen berkata, jenis sungkup sintetik yang biasa digunakan ialah plastik hitam pertanian dan plastik ‘supershine’ yang kebanyakan mengandungi polietilena ketumpatan rendah (LDPE), iaitu resin sintetik.
“Polietilena mengambil masa ratusan tahun untuk terurai, bergantung kepada faktor persekitaran seperti kelembapan, haba, cahaya dan aktiviti mikrob.
“Semasa proses penguraian, ia akan melepaskan mikroplastik yang mengganggu aktiviti enzimatik dan mikrob dalam tanah, sekali gus memberi kesan negatif terhadap pertumbuhan serta produktiviti tanaman.
“Sebaliknya, sungkup organik lebih mudah diuraikan oleh mikroorganisma tanah dan memberi manfaat kepada alam sekitar serta kesihatan. Sungkup organik memperbaiki struktur tanah, meningkatkan pengekalan kelembapan, mengurangkan hakisan serta menyediakan nutrien penting semasa proses penguraian,” katanya. – MalaysiaGazette