Antara bunga api dan mercun yang dirampas dalam serbuan di Muar dan Mersing

JOHOR BAHRU – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api dalam Op Taring Landai Khas sempena Tahun Baru Cina di Muar dan Mersing, kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, dua serbuan berasingan tersebut dilakukan selepas mendapat maklumat risikan berkenaan penjualan mercun dan bunga api tiada kebenaran daripada pihak berkuasa.

“Menerusi serbuan pertama kira-kira pukul 4.30 petang, sepasukan polis dari Unit Risik Markas Operasi PPM Wilayah Dua Muar dibantu Pasukan Siasatan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Polis Diraja Malaysia PDRM melakukan serbuan di Kawasan Perindustrian Parit Hulu, Jalan Bakri, Muar.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan dengan disaksikan penjaga premis iaitu seorang lelaki warga tempatan telah menjumpai pelbagai jenis mercun dan bunga api iaitu 319 kotak yang dianggarkan bernilai RM503,665.

“Lelaki berusia 40 tahun itu ditahan kerana gagal mengemukakan lesen yang sah berhubung pemilikan bahan letupan dan barang kes itu,” katanya menerusi kenyataan akhbar malam tadi.

Katanya, serbuan kedua dibuat pukul 10.30 malam ketika sepasukan polis dari Markas Taktikal PPM Wilayah Dua Mersing sedang menjalankan tugas pemantauan sebelum mengesan pergerakan sebuah Toyota Vios berwarna putih dipandu dalam keadaan yang mencurigakan.

Pasukan serbuan ujarnya, berjaya menahan kereta yang dipandu seorang lelaki warga tempatan di kawasan Taman Desa Sri Endau, Mersing.

Jelasnya, hasil pemeriksaan ke atas kereta itu menjumpai pelbagai jenis mercun serta bunga api yang disembunyikan di bahagian tempat duduk belakang dan but kereta.

“Lelaki berusia 24 tahun ditahan kerana gagal mengemukakan lesen yang sah berhubung pemilikan bahan letupan dan barang kes dirampas untuk siasatan lanjut.

“Ketika proses dokumentasi sedang dilakukan di Pejabat Markas Taktikal PPM Wilayah Dua Mersing, tangkapan telah beberapa kali cuba memberikan wang suapan berjumlah RM2,500 kepada pasukan operasi bagi mengelakkan dari diambil tindakan undang-undang walaupun amaran telah diberikan,” katanya.

Menurut Kumar, kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 kerana memiliki bahan letupan manakala suspek yang turut ditahan akibat cuba memberi sogokan kepada polis akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut.

Pada masa sama, Kumar berkata, pihaknya terus komited dalam membanteras serta memastikan kegiatan penyeludupan atau penjualan mercun dan bunga api yang tidak memiliki kebenaran daripada pihak berkuasa ini dihentikan kerana boleh menjejaskan ekonomi negara.

“Masyarakat juga digesa supaya terus menyalurkan maklumat kepada Polis Johor tentang apa jua aktiviti yang menyalahi undang-undang dan peraturan supaya keselamatan negara dan ketenteraman awam terpelihara,” tegasnya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here