KUALA LUMPUR – Parti Gerakan mencabar kerajaan mengumumkan jumlah kenderaan mewah yang tidak layak mendapat manfaat tol percuma semasa perayaan bagi tempoh dua tahun lalu.
Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, jika benar pemilik kenderaan mewah tidak sepatutnya menikmati tol percuma meskipun hanya sempena perayaan, penyelarasan kadar tol baru sepatutnya dilaksanakan dengan mengenakan caj lebih tinggi.
“Masalah boleh diselesaikan dengan pelbagai cara. Jangan asyik pakai naratif anti mahakaya. T15 juga adalah pembayar cukai. Jika kerajaan nak tarik balik subsidi, umumlah apa syarat menjadi T15.
“Jangan sengaja mencipta persepsi seolah-olah kerajaan terpaksa menghentikan tol percuma perayaan kerana golongan T15,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau mengingatkan supaya kerajaan ikhlas memberikan tol percuma sempena perayaan kepada semua jenis kenderaan seperti sebelum ini.
Menurut Dominic, ironinya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri sebelum ini berjanji untuk menghapuskan tol namun sekarang cuba membawa naratif jenis kenderaan.
Mengulas lanjut beliau berkata, pemberian tol percuma pada waktu yang dinantikan itu hakikatnya meringankan beban hidup rakyat.
“Keluarga atau individu yang tidak memiliki kenderaan dan terpaksa menggunakan pengangkutan awam untuk pulang ke kampung adalah golongan yang benar-benar memerlukan bantuan daripada kerajaan,” katanya.
Sementara itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan pemberian insentif tol percuma kepada syarikat bas ekspres beberapa hari sebelum perayaan.
Jelasnya, insentif ini bertujuan menggalakkan syarikat bas menawarkan harga tiket promosi semasa tempoh tol percuma.
“Langkah ini mungkin dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas dan wajar dikaji oleh kerajaan untuk menilai keberkesanannya,” tambahnya.
Terdahulu, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan Kabinet berhubung langkah menghentikan pemberian tol percuma sempena perayaan masih boleh berubah, bergantung kepada mesyuarat yang berlangsung esok.
Anwar pula berkata, kerajaan sedang memperincikan pendekatan yang lebih bersasar untuk pemberian tol percuma pada musim perayaan kepada golongan B40 dan M40.
Katanya, langkah itu sejajar dengan usaha penyelarasan subsidi oleh kerajaan berbanding pemberian tol percuma secara menyeluruh. – MalaysiaGazettJ