PETALING JAYA – Ibu bapa kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matin telah memfailkan permohonan bagi membatalkan pertuduhan mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya.
Peguam Haresh Mahadevan yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf memberitahu Hakim Dr Syahliza Warnoh bahawa notis usul berkenaan difailkan pada 21 Januari lepas menerusi Tetuan Wong & Co di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
“Pihak tertuduh memfailkan permohonan (notis usul) itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapi mereka. Kami juga telah menyerahkan salinan kepada Jabatan Peguam Negara semalam melalui e-mel.
“Oleh itu, pihak pembelaan ingin memohon untuk pergantungan perbicaraan sementara menunggu pendengaran notis usul berkenaan, jika tidak perbicaraan akan menjadi sia-sia,” kata Haresh yang turut dibantu peguam Lavanesh Haresh Mahadevan semasa sebutan kes itu di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin mengesahkan pihak pendakwaan telah menerima permohonan notis usul itu.
“Memandangkan peguam telah memfailkan notis usul, kami berpendapat ia perlu diputuskan dahulu sebelum perbicaraan diteruskan. Pihak pendakwaan memohon supaya tarikh sebutan ditetapkan bagi mengemas kini status permohonan notis usul berkenaan serta status tarikh bicara di mahkamah,” katanya.
Menerusi notis usul diperoleh media, Zaim Ikhwan dan Ismanira memohon mereka dilepas dan dibebaskan serta-merta daripada pertuduhan berkenaan yang tidak mendedahkan sebarang kesalahan di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.
Antara alasan lain dikemukakan dalam notis usul itu ialah pertuduhan yang dihadapi mereka tidak mengandungi butir-butir yang mencukupi, mengenai sebarang unsur-usur kesalahan di bawah seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.
Menerusi afidavit sokongan yang difailkan bersama notis usul itu, Zaim Ikhwan dan Ismanira juga mendakwa pertuduhan dikenakan terhadap mereka selaku pemohon tidak mendedahkan apa-apa kesalahan di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.
Zaim Ikhwan dan Ismanira mendakwa pertuduhan dihadapi mereka tidak mematuhi Seksyen 153 dan 154 Kanun Tatacara Jenayah yang tidak diberi hak perlembagaan untuk perbicaraan adil yang dijamin di bawah Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.
Pada 13 Jun tahun lepas, Zaim Ikhwan dan Ismanira, kedua-duanya berumur 30 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, atas satu pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember 2023, mayat Zayn Rayyan ditemukan di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai dekat sini selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.
Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri. – Bernama