Ibu dan bapa kepada kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin, Ismanira Abdul Manaf dan Zaim Ikhwan Zahari diiring keluar selepas mengaku tidak bersalah tuduhan abai anak di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya. Foto SADIQ SANI, 13 JUN 2024

PETALING JAYA- Ibu bapa kepada kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matiin memfailkan permohonan bagi membatalkan pertuduhan, sekali gus dilepas dan dibebaskan daripada dakwaan mengabaikan kanak-kanak terbabit.

Notis usul difailkan pasangan Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf, 30, menerusi Tetuan Wong & Co di Mahkamah Tinggi Shah Alam kelmarin, dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.

Mereka memohon dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan yang dikenakan pada 13 Jun tahun lalu, selain prosiding perbicaraan yang ditetapkan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya ditangguhkan.

Menerusi afidavit sokongan difailkan bersama notis usul yang diperoleh menerusi pihak pembelaan, mereka mendakwa pertuduhan jenayah dikenakan terhadap Zaim Ikhwan dan Ismanira selaku pemohon tidak mendedahkan sebarang kesalahan mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.

“Oleh itu, kedua-dua tertuduh selaku pemohon telah diprejudiskan dengan serius sekali gus menjadikan pertuduhan jenayah tersebut sebagai satu penyalahgunaan proses mahkamah,” kata dokumen yang diperoleh media di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Menurutnya, pasangan tersebut percaya pertuduhan dihadapi tidak mematuhi Seksyen 153 dan 154 Kanun Tatacara Jenayah, sekali gus tidak diberi hak Perlembagaan untuk perbicaraan adil yang dijamin mengikut Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.

Menerusi notis usul itu, semua pertuduhan jenayah dikenakan terhadap mereka adalah satu penyalahgunaan proses Mahkamah Sesyen dan kedua-dua pemohon sudah diprejudiskan dengan serius akibat daripada semua pertuduhan jenayah menyebabkan kegagalan keadilan yang memerlukan semua pertuduhan itu diketepikan dan dibatalkan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here