KUALA LUMPUR –Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa untuk menyiasat satu komen di Facebook yang dibuat oleh pengguna Cecilia Yap Song KL berhubun pengggunaan terma ‘ham’ dalam makanan berlabel halal yang sedang hangat diperkatakan ketika ini.
Exco Armada Bersatu Malaysia, Wan Meor Safwat Naqiuddin Shamsudin berkata, pengguna laman sosial itu dalam komennya telah menyebut “Semua nama yang ada dengan MoHAMMad… perlu ditukar”.
Katanya, komentar yang dibuat oleh Cecilia Yap Song KL apabila mengaitkan nama junjungan besar Nabi Muhammad dengan terma ham (makanan berasaskan babi) adalah tindakan bersifat menghina agama Islam dan melampaui batas amalan hak kebebasan bersuara.
“Puluhan laporan polis terhadap perkara ini dipercayai telah dilakukan oleh pelbagai pihak diseluruh negara.
“Harus diingatkan bahawa agama Islam adalah agama yang terpelihara dan termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.
“Maka, ia perlu dipelihara oleh seluruh rakyat Malaysia dengan menjauhi tindakan menghina atau mempersendakannya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sehubungan itu katanya, polis perlu membuka kertas siasatan dan bertindak tegas terhadap Cecilia Yap Song KL termasuk pelakon dan pelawak, Harith Iskandar yang cuba membuat jenaka menggunakan topik ham, baru-baru ini hingga mengundang kecaman netizen terutamanya dalam kalangan umat Islam.
Tegasnya, kedua-dua pengguna Facebook itu perlu disiasat dibawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Katanya lagi, perkembangan siasatan mengenai perkara itu perlulah dihebahkan kepada umum atas sebab isu ini adalah bersifat kepentingan awam dan perlu disegerakan tindakan demi memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia. – MalaysiaGazette