KUALA LUMPUR – Isu jurang gaji di antara graduan wanita dan lelaki akan di bawa ke mesyuarat Kabinet, esok.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya dalam proses berbincang dengan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) berkenaan perkara itu.
“Kita akan membicangkan dengan Kesuma kerana isu ini bukan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) tetapi perlu disuarakan kerana melibatkan wanita.
“Insya-Allah, esok kita ada mesyuarat Kabinet. Jadi, saya akan ambil jalan cepat untuk bawa kepada Kabinet bagi menyuarakan kepada pihak Kesuma,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Program Sanjungan Ilmu Anjuran Institut Sosial Malaysia (ISM), di sini, hari ini.
Sebelum ini, Nancy menegaskan jurang gaji antara siswazah wanita dan lelaki tidak sepatutnya terjadi kerana kedua-duanya memiliki kelayakan akademik yang setaraf.
Ini berikutan laporan Statistik Siswazah 2023 dikeluarkan Jabatan Perangkaan yang menyatakan siswazah wanita secara purata mendapat gaji RM900 lebih rendah berbanding lelaki meskipun memiliki kelayakan akademik setara. – MalaysiaGazette