KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara telah mengembalikan semula kertas siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bagi mendapatkan beberapa maklumat tambahan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.
Beliau berkata, kertas siasatan itu telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara pada 15 Januari lepas.
“Kertas siasatan (PDRM) dikembalikan semula (bagi menunggu laporan forensik yang masih belum siap),” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Polis sebelum ini membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (AKMM) 1998 terhadap Khairy, berhubung kenyataannya mengenai kewujudan dokumen tambahan membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.
Susulan itu, keterangan daripada Khairy yang juga bekas menteri kesihatan dirakam pada 13 Januari oleh pegawai polis daripada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di Studio Keluar Sekejap, di Bukit Damansara dekat sini.
Pada 10 Januari, Datuk Suraya Yaacob iaitu Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Nor Azrina Surip yang merupakan Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, telah membuat laporan polis terhadap Khairy, masing-masing di Putrajaya dan Sentul.