KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melancarkan jersi baharu Harimau Malaya dengan PUMA Malaysia menjadi penaja sebagai bermulanya era baharu bola sepak negara ini.
Ia sekali gus menyemarakkan revolusi Harimau Malaya yang sedang rancak ketika ini, terutama ketika skuad negara mempunyai tugasan penting mengharungi Kelayakan Piala Asia yang akan bermula Mac depan.
Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin berkata, kerjasama dengan PUMA itu menandakan satu lembaran baharu dan menarik untuk bola sepak Malaysia.
“Kepakaran mereka dalam inovasi pakaian sukan dan pengiktirafan global bukan sahaja akan menyediakan pemain kita dengan peralatan yang mereka perlukan untuk bersaing di peringkat tertinggi tetapi juga membantu memupuk hubungan yang lebih mendalam di antara pasukan dan para penyokong.
“Bersama-sama, kita menyasarkan untuk mencipta budaya bola sepak yang lebih bertenaga di Malaysia, memberi inspirasi kepada kedua-dua pemain dan peminat sambil kita meningkatkan sukan ini ke tahap yang lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan sempena majlis pelancaran jersi baharu itu di PUMA Flagship Store di Sunway Pyramid Mall di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Urusan PUMA Asia Tenggara & Oceania, Sanjay Roy dan Pengurus Negara PUMA Malaysia, Steven Tan.
Jersi rasmi ‘home’ dan ‘away’ Harimau Malaya direka dengan warna kebangsaan ikonik pasukan iaitu kuning dan hitam.
Jersi tersebut kini boleh dibeli di kedai PUMA terpilih di seluruh negara pada harga RM319.
Pengenalan jersi tersebut juga bermakna FAM telah memeterai kerjasama empat tahun dengan PUMA yang akan menjadi rakan pakaian rasmi Harimau Malaya dan mengukuhkan komitmen bersama kedua-dua pihak untuk memajukan bola sepak di Malaysia.
Sementara itu, Pengarah Urusan PUMA Asia Tenggara dan Oceania, Sanjay Roy menyifatkan kerjasama dengan FAM itu menandakan satu peristiwa penting bagi PUMA kerana mereka dapat membantu dalam bola sepak negara.
“Kami berdedikasi untuk melengkapkan Harimau Malaya dengan produk inovatif yang memperkasakan mereka untuk mencapai matlamat sambil meraikan kuasa sukan ini untuk bersatu dan memberikan inspirasi,” katanya. – MalaysiaGazette
UM berkata, apabila pihak penganjur merancang untuk memainkan lagu kebangsaan negara berkenaan, UM telah meminta penganjur untuk turut memainkan lagu Negaraku sepertimana yang diperuntukkan dalam Akta Lagu Kebangsaan 1968.