Tertuduh, Saril Sarip, 42, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini, atas pertuduhan memasukkan kemaluan mangsa yang berusia 18 tahun ke dalam mulutnya di dalam salun rambut miliknya kira-kira pukul 4.15 petang 17 Januari lalu.

MELAKA – Seorang jurusolek lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini, atas pertuduhan melakukan jenayah seksual terhadap seorang pelakon lelaki, minggu lalu.

Tertuduh yang juga pemilik salun dan tukang gunting rambut, Saril Sarip, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Haderiah Siri sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Saril didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii dengan cara memasukkan kemaluan mangsa berusia 18 tahun ke dalam mulutnya tanpa kerelaan dengan meletakkan ketakutan kecederaan kepadanya.

Perbuatan itu dilakukan di dalam salun dandanan rambut miliknya di Taman Tasik Utama, dalam daerah Melaka Tengah pada kira-kira pukul 4.15 petang 17 Januari lalu.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun dan hendaklah dikenakan sebatan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ali Hussain menawarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi dan melapor diri setiap bulan di Balai Polis Durian Tunggal sehingga kes selesai.

Peguam, L Sharveen bagaimanapun memohon jaminan rendah kerana anak guamnya yang juga masih bujang dan memiliki kedai gunting rambut di Ayer Keroh hanya memperoleh pendapatan sekitar RM2,000 hingga RM2,500 sebulan.

Selain itu, tertuduh juga perlu menyara ibunya berusia 78 tahun yang mengidap darah tinggi dan penyakit usus serta menjaga kakak yang tidak bekerja.

Selepas mendengar hujahan kedua pihak, Hakim Haderiah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 24 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here