BANGI – Satu kertas kerja untuk mendapatkan persetujuan agar Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menjadi sebagai pembeli tunggal getah untuk pekebun kecil badan berkanun itu akan dibentangkan ke Kabinet, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memberitahu, telah meminta kepada Ketua Pengarah dan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk menyediakan kertas kerja itu kepada jemaah menteri dalam tempoh dua bulan ini.
“Saranan Pengerusi Risda (Manndzri Nasib) bagi menjadikan RISDA sebagai pembeli tunggal getah untuk pekebun kecil RISDA.
“Ini merupakan satu ‘game changer’ dan cadangan baru,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Konvensyen Pegawai Lapangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) 2025, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, Langkah untuk menjadikan RISDA pembeli tunggal getah itu adalah kerana 89 peratus pasaran getah sebenarnya dikuasai oleh pekebun kecil RISDA.
Katanya, ini kerana hanya 11 peratus sahaja sektor itu dikuasai oleh ladang-ladang besar.
“Mungkin kolaborasi juga boleh dilakukan untuk menentukan peningkatan harga pada getah dan juga pengeluaran lateks dapat dipertingkatkan kerana kita terpaksa mengimport lateks dengan nilai RM6 bilion setahun sedangkan kita adalah pengeluar.
“Langkah baharu ini adalah sesuatu untuk kita membela nasib pekebun pekebun kecil yang terpaksa bergantung kepada harga lantai.
“Maka dalam keadaan ini, biarlah kita yang akan menentukan pasaran bukan pasaran yang akan menentukan harga ” katanya.
Ahmad Zahid turut berkata, beliau yakin dalam tempoh 10 tahun negara boleh kembali menjadi pengeluar getah yang pertama. – MalaysiaGazette