LOGO ASEAN
Logo ASEAN sempena mesyuarat pemukiman Menteri Luar ASEAN 2025 di Langkawi, Kedah. Foto FAREEZ FADZIL, 17 JANUARI 2025.

DAVOS- Kepimpinan Malaysia dalam ASEAN memberi harapan untuk meredakan krisis berpanjangan di Myanmar, kata Utusan Khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Myanmar, Julie Bishop.

Dalam ucapannya semasa Sidang Pleno ASEAN bertajuk “Even Stronger Together” di Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 pada Rabu, Bishop menekankan peranan penting ASEAN dalam menangani krisis itu, dengan menggariskan pendirian berkecuali kumpulan itu dalam isu dalaman sambil mengakui tanggungjawabnya mencari penyelesaian damai.

Beliau turut menyatakan ASEAN telah mengambil langkah melalui pelan konsensus lima perkara, walaupun pelaksanaannya lebih perlahan daripada yang diharapkan.

“Adalah mengecewakan bahawa pelan konsensus lima perkara itu tidak dilaksanakan pada skala atau kelajuan yang kita inginkan. Situasi di Myanmar semakin merosot, tetapi saya melihat ada sinar  di penghujung terowong dengan peneraju Malaysia dalam ASEAN serta pelantikan Utusan Khas baharu mereka,” katanya.

Bishop menyatakan komitmen untuk bekerjasama dengan ASEAN dalam menamatkan krisis kemanusiaan dan konflik yang berlarutan serta mengawal jenayah rentas sempadan di Myanmar.

Sesi itu yang dikendalikan Presiden WEF, Borge Brende, dengan penyertaan panel lain termasuk Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh, Pengerusi Global Mastercard Michael Miebach, dan Ketua Penasihat Kerajaan Sementara Bangladesh Prof Muhammad Yunus.

Bishop turut menyeru usaha diplomasi yang lebih kukuh untuk mencapai keamanan dan kestabilan di Myanmar, sambil menegaskan bahawa ASEAN dan PBB boleh memainkan peranan penting dalam membawa negara itu kembali ke arus perdana dunia.

“Bersama-sama, ASEAN dan PBB boleh menjadi pembina jambatan, penyampai mesej damai yang amat diperlukan di Myanmar.

Saya amat berharap Myanmar akan kembali sebagai anggota ASEAN yang berfungsi sepenuhnya, di peringkat serantau, dan malah di arena global,” katanya.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here