SEOUL- Ekonomi Korea Selatan pada suku keempat berkembang lebih rendah berbanding sasaran susulan krisis politik di negara itu yang menyebabkan keyakinan pengguna dan permintaan domestik terjejas.
Krisis politik yang memuncak selepas Presiden Yoon Suk yeol mengisytiharkan undang-undang tentera pada 3 Disember lalu menyebabkan negara yang bergantung kepada eksport itu hanya mencatatkan pertumbuhan 0.1 peratus pada suku terakhir 2024 berbanding 1.2 peratus tempoh sama tahun lalu.
Menurut bank negara, ekonomi Korea Selatan bagi keseluruhan 2024 berkembang dua peratus, meskipun meningkat berbanding 2023 namun ia 0.2 peratus lebih rendah berbanding sasaran.
Awal minggu ini, Bank Korea telah memberi amaran bahawa pengisytiharan undang-undang tentera serta nahas udara Jeju Air yang mengorbankan 179 nyawa bakal menjejaskan sentimen ekonomi secara signifikan.
Dengan itu, bank pusat terpaksa menyemak semula unjuran pertumbuhan pada 2024 kepada 1.6-1.7 peratus berbanding sasaran awal sebanyak 1.9 peratus.
“Ekonomi Korea terus mencabar pada suku keempat dan kami menjangkakan kelembapan aktiviti akan berterusan dalam tempoh terdekat disebabkan krisis politik yang tidak berkesudahan.
“Permintaan domestik kekal menjadi penyumbang utama kelembapan ekonomi,” kata Shivaan Tandon daripada Capital Economics dalam nota penyelidikannya.- Agensi