RIYADH- Arab Saudi merancang untuk meluaskan hubungan pelaburan dan perdagangan dengan Amerika Syarikat dengan komitmen sebanyak AS$600 bilion dolar dalam tempoh empat tahun.
Menurut Putera Mahkota Mohammed bin Salman komitmen tersebut berpotensi untuk dilanjutkan.
Agensi berita tempatan melaporkan, Mohammed yang juga Perdana Menteri Arab Saudi berkata demikian ketika mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Donald Trump, pada Khamis.
Dalam perbualan yang berkisar mengenai kerjasama dua negara dalam sektor-sektor utama, Putera Mohammed turut mengambil kesempatan sebagai wakil Penjaga Dua Masjid Suci untuk menyampaikan ucapan tahniah di atas pelantikan Trump sebagai Presiden AS ke-45.
Kedua-dua pemimpin ternama itu juga berbincang mengenai usaha-usaha untuk meningkatkan keamanan, keselamatan dan kestabilan di Asia Barat serta menekankan kepentingan kerjasama bilateral dalam mengekang keganasan.
Putera Mohammed turut memuji pentadbiran AS dalam reformasi ekonomi yang mana beliau sifatkan sebagai pencipta peluang ke arah kemakmuran.
Beliau turut menyatakan keterujaan Arab Saudi untuk turut serta dalam peluang-peluang tersebut menerusi pelbagai inisiatif kerjasama dan pelaburan.