KUALA LUMPUR – Langkah-langkah yang bakal diambil bagi memastikan keberadaan Beras Putih Tempatan (BPT) di pasaran akan dimaklumkan setelah perincian mengenainya dipersetujui kerajaan.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata, setiap isu berkaitan padi dan beras perlu dirujuk kepada pihak berautoriti supaya rakyat mendapat maklumat yang tepat.
“KPKM sentiasa komited untuk mencari penyelesaian terbaik melalui pelaksanaan reformasi industri padi dan beras secara menyeluruh untuk meningkatkan daya saing industri, memperkukuh kebajikan pesawah serta menjamin bekalan beras negara,” katanya menerusi kenyataan.
Jelasnya, ia bagi meningkatkan daya saing industri, memperkukuh kebajikan pesawah serta menjamin bekalan beras negara.
Selasa lalu, Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL), Syed Abu Hussin Hafiz menerusi sidang media berkata, beliau akan mengemukakan permohonan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan portfolio urusan padi dan beras di bawah NACCOL.
Ketua Kluster itu berkata, langkah tersebut diambil selepas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu didakwa gagal menyelesaikan masalah berkenaan. – MalaysiaGazette