KOTA TINGGI – Polis menahan seorang lelaki warganegara Indonesia dan merampas dadah bernilai RM158,772 dalam operasi khas di kawasan Sungai Rengit di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, suspek berumur 31 tahun itu ditahan pukul 2.45 pagi dalam serbuan oleh polis marin bersama-sama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi.
“Sindiket pengedaran dadah ini menggunakan bungkusan teh cina sebagai modus operandi untuk mengaburi pihak berkuasa.
“Antara dadah yang dirampas adalah methamphetamine seberat 2,267 gram (RM72,544), ketamin 776 gram (RM38,800) dan serbuk ekstasi 284 gram (RM47,428).
“Rampasan dadah ini mampu menampung keperluan sehingga 16,161 orang penagih,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Katanya, saringan awal ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Menurut Yusof, selain dadah, pihaknya turut merampas pasport milik suspek dan menyita wang tunai RM100.
“Suspek kini direman selama tujuh hari, bermula semalam hingga 28 Januari depan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.- MalaysiaGazette