MUAR – Seorang pemandu maut selepas lori dipandu melanggar belakang sebuah treler dalam kemalangan di Kilometer 132.3 Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Abdul Aziz berkata, pihaknya mendapat panggilan kemalangan berhubung kejadian tersebut daripada orang awam pada pukul 7 pagi.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku semasa pemandu treler iaitu seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun sedang dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur.
“Apabila sampai di lokasi kejadian ketika treler tersebut sedang bergerak lurus, lori berkenaan yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun telah melanggar belakang treler tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, akibatkan kejadian tersebut pemandu lori, S Thevandaran mengalami kecederaan parah di bahagian dalaman badan sebelum dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini.
Bagaimanapun katanya, mangsa meninggal dunia semasa dirawat di Zon Merah HPSF manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pihak polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika memandu. Berhenti rehat sekiranya mengantuk atau letih,” ujarnya.- MalaysiaGazette