KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Korea dijatuhkan hukuman penjara 15 bulan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memiliki wang palsu, tahun lepas.
Hakim Azrul Darus menjatuhkan hukuman terhadap Kim Jongdeok, 65, dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula daripada tarikh tangkap pada 28 Februari tahun lepas.
Lelaki itu didakwa memiliki wang palsu iaitu mata wang kertas Amerika Syarikat (AS$) sebanyak tiga beg bagasi yang mengandungi wang kertas AS$100 dan mata wang kertas Malaysia (RM) sebanyak 1,630 keping RM100 dan RM50 yang mana tertuduh tahu bahawa ia adalah palsu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Mont Kiara di sini pada 28 Februari 2024 mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya R. Harvind memohon hukuman setimpal sebagai memberi pengajaran kepada tertuduh.
Bagaimanapun, Kim yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan dia telah insaf dan mahu pulang ke negaranya. – Bernama