MELAKA – Sebanyak 9,500 premis di negeri ini dikesan mempunyai tempat pembiakan nyamuk Aedes, sekali gus menyumbang kepada kes demam denggi pada tahun lalu.
Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Ruzita Mustaffa berkata, jumlah itu adalah daripada 98,299 premis yang telah diperiksa melalui tindakan penguatkuasaan pencegahan dan kawalan penyakit demam denggi di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975.
“Sebanyak 9,500 atau 9.7 peratus premis didapati positif pembiakan dengan 1,398 (14.7%) pemunya atau penduduk dikenakan tindakan kompaun oleh Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM)
“Daripada jumlah itu, 964 kompaun bernilai RM482,000 ditawarkan dan 529 kompaun telah dibayar dengan nilai kutipan berjumlah RM94,270,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai operasi Bersepadu Penguatkuasaan Undang-undang Kesihatan Awam Tahun Baharu Cina di sebuah pasaraya di Malim, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Dr Ruzita berkata, sejumlah 260 kes telah didaftar untuk tindakan mahkamah selain 39 kes disabitkan kesalahan di mahkamah dengan jumlah denda RM11,810.
“Manakala untuk tahun ini pula sehingga 18 Januari lalu, sejumlah 6,157 premis telah diperiksa dengan 626 atau 10.2 peratus premis didapati positif pembiakan nyamuk Aedes.
“Sebanyak 78 pemunya atau penduduk premis ditawarkan sebanyak 91 kompaun dengan nilai RM45,500,”tambahnya.
Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau berkata, tahun lalu menyaksikan sebanyak 50 premis makanan daripada 6,047 yang diperiksa diberi perintah penutupan sementara oleh JKNM.
“Notis penutupan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dikeluarkan penguatkuasa selepas mendapati tahap kebersihan premis makanan terbabit tidak memuaskan.
“Menerusi operasi sama juga, JKNM turut mengeluarkan sebanyak 2,013 notis kesalahan dan 1,372 kompaun membabitkan nilai tawaran berjumlah RM440,550,” katanya.
Manakala bagi tempoh 1 hingga 18 Januari lalu, sebanyak 89 premis telah dilawati dan dua daripadanya telah diarah tutup. – MalaysiaGazette