Sawah padi ketika tinjauan sempena Belanjawan 2025 sektor pertanian di Perak. Foto MALAYSIA GAZETTE, 18 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mendesak kerajaan mewujudkan satu suruhanjaya bebas bagi mengambil alih fungsi Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) yang didakwa gagal menangani isu pesawah padi negara.

Pengerusinya, Norysharin Hamidon berkata, fungsi dan peranan asal LPN boleh dikembalikan bersandarkan kepada kejayaan terdahulu untuk menangani ketidaktentuan harga input pertanian yang membebankan pesawah.

“Suruhanjaya ini perlu dianggotai pemegang taruh mewakili pelbagai pihak khususnya pesawah, pengilang kecil dan pengilang Melayu, pemborong, pakar industri, ahli akademik, teknologis, agensi-agensi berkaitan serta tokoh tiada kepentingan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menurut Norysharin, ia antara lain untuk menyelesai isu peningkatan kos penghasilan padi mendadak dan ketidakseimbagan pendapatan pesawah yang masih di bawah paras kemiskinan tegar antara RM700 hingga RM1,200 sebulan.

“Peningkatan kos itu juga merangkumi benih padi, racun, sewaan tanah dan upah untuk mengerjakan bendang,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu memperkenalkan harga beras baharu untuk mengimbangi kenaikan kos pengeluaran padi memandangkan harga kawalan beras tempatan pada kadar RM2.60 satu kilogram (kg) sejak 2014 tidak lagi munasabah.

“Cadangan harga belian padi lebih adil perlu diperkenalkan dan menuntut ketegasan suruhanjaya membendung kenaikan harga barang dan perkhidmatan oleh pihak-pihak yang cuba mengambil kesempatan.

“Pertubuhan Peladang Kawasan tidak lagi disalah guna atau bersekongkol menekan pesawah menurunkan harga belian di kilang.

“Kononnya ia bertujuan menyelesaikan polemik ketiadaan beras tempatan atau memaksa pesawah kecil melepaskan hak mereka demi menguasai bendang berskala besar,” katanya.

Katanya, program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) dengan matlamat membantu mencapai Sasaran Tahap Sara Diri (SSL) sebanyak 80 peratus menjelang 2030 adalah inisiatif baik, dengan syarat ia tidak membunuh pengusaha kecil.

“Suruhanjaya boleh merujuk kejayaan Felcra mencapai kos produksi yang optimum buat peserta mereka.

“Sasaran program kawasan bertanam seluas 150,000 hektar dan purata pengeluaran hasil sebanyak tujuh metrik tan per hektar adalah inisiatif bagus.

“Namun ia kurang menyeluruh kerana mengenepikan kilang-kilang padi Melayu yang merupakan nadi penting kepada kelestarian komuniti pesawah khususnya di jelapang,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, MTEM mendesak suruhanjaya untuk mengembalikan penglibatan pengilang beras Bumiputera dengan mewujudkan kuota belian padi di setiap kilang.

“Usaha mengekang monopoli dan sabotaj oleh kilang besar di samping menjamin pengeluaran benih berkualiti dan mencukupi mesti dipercepatkan.

“Begitu juga ikhtiar menggunakan beras tempatan sebagai Beras Stokpail Negara demi mengurangkan kadar impot beras.

Katanya, suruhanjaya perlu meningkatkan kecekapan pengurusan dan produktiviti melalui kajian meningkatkan hasil seperti kadar pemutuan padi lebih fleksibel dan mengoptimakan operasi.

“Langkah itu dapat mengelakkan ratusan ribu hektar bendang warisan yang telah diusahakan merentas generasi tergadai.

“Begitu juga ikhtiar meningkatkan produktiviti pengeluaran khususnya di luar jelapang daripada 2.53 tan per hektar yang baru menyumbang 35 peratus dari pengeluaran padi negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here