JOHOR BAHRU – Tindakan seorang pemandu lori menampar kakitangan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) cawangan Johor Bahru di sini membawa padah apabila akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini esok.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suspek lelaki berusia 59 tahun itu akan dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
“Kertas siasatan telah dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Johor pada Isnin lalu dan mendapat arahan pertuduhan ke atas suspek di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan,” katanya dalam kenyataan akhbar, hari ini.
Pada 16 Januari lalu, media melaporkan, hanya kerana lorinya gagal dalam pemeriksaan Puspakom, seorang lelaki bertindak menampar seorang kakitangan Puspakom, November lalu.
Kejadian itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis cawangan Puspakom berkenaan di Taman Daya di sini, sebelum tular dalam media sosial.
Raub dilaporkan berkata, mengesahkan kejadian itu berlaku pada jam 5.40 petang, 18 November lalu dan laporan polis diterima daripada mangsa iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 38 tahun yang juga kakitangan Puspakom itu.
“Dia bertindak menampar mangsa selepas mendapati lorinya gagal dalam pemeriksaan kenderaan yang dijalankan oleh mangsa,” katanya.
Pada masa sama, Raub menasihatkan orang ramai supaya tidak terus menyebarkan video berkenaan di media sosial bagi mengelakkan salah faham atau spekulasi yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.- MalaysiaGazette