PGA bongkar kegiatan penjualan baja tanpa lesen sebelum serahkan kes kepada KPDN Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.

KEPALA BATAS – Kegiatan seorang lelaki menjual baja secara borong tanpa lesen sejak lima tahun akhirnya terbongkar selepas Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Perak melakukan serbuan di sebuah kilang di Permatang Saga, Pinang Tunggal, di sini, semalam.

Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, serbuan hasil risikan selama seminggu itu turut membawa kepada tangkapan seorang lelaki berusia 71 tahun yang mengaku sebagai pemilik perniagaan bagi membantu siasatan lanjut.

“Hasil pemeriksaan mendapati sejumlah besar baja serta peralatan pembungkusan dan penghasilan baja ditemui di kilang tersebut.

“Susulan itu, kita menyerahkan kes ini kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan pada hari ini.

Shahrum (kanan) dan Jegan bercakap kepada pemberita pada sidang media di lokasi serbuan.

Sementara itu, Pengarah KPDN Pulau Pinang, S.Jegan berkata, kilang tersebut dipercayai menjalankan aktiviti penjualan baja secara borong tanpa lesen sah.

“Pelbagai jenis baja dirampas dalam serbuan itu termasuk baja jumbo seberat 700 kilogram (kg), 60 beg baja sebatian dan 91 beg baja sebatian NPK dengan nilai keseluruhan RM508,470.

“Selain itu, pelbagai peralatan seperti mesin pembungkusan, pengisar, pengadun, pemampat, pemindah baja, serta alat timbang turut dirampas sekali gus menjadikan nilai keseluruhan rampasan termasuk peralatan berjumlah  RM541,222,” katanya.

Tambah Jegan, tindakan penyitaan terhadap beberapa dokumen yang berkaitan juga telah dilakukan untuk membantu siasatan lanjut.

“Kes ini akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here