JOHOR BAHRU – Tertarik dengan pulangan tinggi dan kaedah yang mudah dalam skim pelaburan dalam talian, seorang pengurus projek sebuah syarikat swasta lelaki diperdaya RM130,000.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, semuanya bermula apabila mangsa iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 37 tahun dihubungi seorang individu tidak dikenali pada September lalu.
“Individu terbabit mengaku kakitangan sebuah bank terkemuka dan menawarkan pelaburan saham BSKL yang akan memberikan keuntungan 20 peratus daripada modal yang dilaburkan.
“Mangsa kemudian dimasukkan ke dalam satu kumpulan Whatsapp dan diberikan penerangan lebih lanjut,” katanya menerusi kenyataan akhbar, hari ini.
Katanya, tertarik dengan pulangan yang tinggi dan kaedah yang mudah, mangsa melakukan 30 transaksi pembayaran secara dalam talian ke dalam satu akaun bank yang diberikan suspek keseluruhannya berjumlah RM138,300 pada 13 November hingga 14 Disember lalu.
Menurut beliau, pembayaran itu adalah sebagai modal untuk menyertai pelaburan dan juga pembayaran cukai keuntungan bagi mengeluarkan wang pelaburan kelak.
Mohd Sohaimi memberitahu, pada awal Januari lalu suspek memaklumkan kepada mangsa bahawa nilai saham mengalami kemerosotan dan telah mengeluarkan mangsa daripada kumpulan Whatsapp pelaburan itu.
Suspek katanya, kemudian turut menyekat mangsa daripada menghubunginya menyebabkan lelaki berkenaan rasa telah ditipu lalu membuat laporan polis semalam.
Mohd Sohaimi berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu.
Selain itu ujarnya, tindakan siasatan juga akan meliputi pembabitan keldai akaun di bawah Seksyen 424 kanun keseksaan kerana kesalahan berkaitan instrumen pembayaran atau akaun di institusi kewangan.
Pada masa sama, beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap taktik penipuan secara dalam talian yang semakin berleluasa.
“Jangan mudah percaya kepada skim pelaburan yang diiklankan terutamanya yang menjanjikan pulangan yang cepat dan lumayan serta kaedah pelaburan yang mudah.
“Orang ramai juga disarankan untuk membuat semakan dengan agensi berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti bagi mendapatkan kepastian dan maklumat lanjut berkenaan sebarang pelaburan yang ditawarkan,” tambahnya.- MalaysiaGazette