JOHOR BAHRU – Seorang pengurus projek sebuah anak syarikat konsesi lebuh raya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah RM50,000 bagi membantu sebuah syarikat pembinaan mendapatkan projek pembinaan lebuh raya, dua tahun lalu.
Tertuduh, Zairulnizam Rohani, 47, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah menerima suapan rasuah bernilai RM50,000 masing-masing menerusi tiga pemindahan atas talian ke dalam akaun milik isterinya.
Itu sebagai upah buat tertuduh yang juga pengurus projek sebuah anak syarikat konsesi lebuh raya membantu sebuah syarikat pembinaan, mendapatkan kerja membina dan menyiapkan projek lebuh raya.
Kesalahan tersebut dilakukan di sebuah cawangan bank tempatan di Taman Universiti, di sini, pada 7, 12 dan 13 Disember 2023.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Asmah Zainal Ariffin, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Salleh Tugimin.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dengan tertuduh perlu melapor diri setiap bulan di Pejabat SPRM.
Bagaimapun peguam tertuduh merayu supaya mahkamah menetapkan jaminan rendah dan tidak membebankan.
“Ini kerana anak guam saya telah digantung tugas sejak Julai tahun lalu dan tidak mempunyai sebarang sumber pendapatan dengan akaun peribadi telah dibekukan, walaupun ketika bekerja menerima gaji sebanyak RM11,000 sebulan sebelum ini.
“Tertuduh juga disahkan doktor pakar mengalami darah beku di otak sejak April 2023, menyebabkan beliau sukar bertutur dengan jelas selain tidak dapat mengingati fakta.
“Beliau juga perlu menanggung empat anak yang masih menuntut di pusat pengajian tinggi dan bersekolah selain ibunya yang menderita sakit tulang belakang (slipped disc),” hujahnya.
Hakim kemudian memerintahkan tertuduh dijamin RM25,000 dengan seorang penjamin selain pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah selain perlu melapor diri setiap bulan di Pejabat SPRM.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes ditetapkan pada 24 Februari depan, bagi penyerahan dokumen.- MalaysiaGazette