PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, anak tirinya Riza Aziz menggunakan ‘wang bersih’ yang dibiayai oleh pinjaman daripada dana Abu Dhabi untuk menghasilkan filem Hollywood.
Bekas Perdana Menteri berkata, pinjaman kepada Riza atau nama penuhnya Riza Shahriz Abdul Aziz adalah keputusan kerabat diraja Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mansour ibn Zayed Al Nahyan.
Ujar beliau yang juga bekas Menteri Kewangan, anak tirinya menerima wang daripada Aabar Investments PJS melalui ‘pinjaman terus’.
Sehubungan itu, Najib menafikan cadangan pihak pendakwaan bahawa Riza menghasilkan filem dengan dana yang menyalahi undang-undang.
Beliau turut menafikan dakwaan bahawa dia cuba mendapatkan bantuan kerabat diraja UAE untuk membuat perjanjian pinjaman palsu bagi menunjukkan wang yang diterima Riza, kelihatan sah.
“Ia adalah wang bersih daripada Aabar, filem telah dibuat serta menghasilkan wang dan dia membayar balik (pinjaman),” ujar Najib pada pemeriksaan semula yang dikendalikan oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Semasa pemeriksaan balas, pihak pendakwaan mencadangkan Najib meminta bantuan kerabat diraja Arab melalui panggilan telefon untuk mendapatkan persetujuan bertulis yang sah bagi melindungi dakwaan skim pengubahan wang haram melibatkan Riza.
Najib berkata, beliau tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana yakin Riza tidak akan mengambil wang tersebut jika ia bukan pinjaman.
Ujar Najib, perbualan beliau dengan Putera Mahkota itu hanya semata-mata untuk mendokumentasikan pinjaman.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu berkata, Riza telah mula membayar balik sejumlah besar pinjaman tersebut dan tindakan itu menunjukkan beliau percaya wang yang diterimanya adalah bersih kerana ia berasaskan pinjaman.
Najib, 71, menyatakan demikian ketika membela diri terhadap empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah di Istana Kehakiman di sini, bersambung esok – MalaysiaGazette.