KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat (KPWKM) mensasarkan Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Kerja Sosial dapat dibentangkan di Parlimen pada Julai tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, beberapa langkah tambahan sedang dilakukan termasuk memperkemas draf dan mendapatkan maklum balas pelbagai pihak berkepentingan.
“Semalam, Ketua Setiausaha (KSU) bersama pasukannya telah berbincang kerana kerja sosial ini melibatkan skop yang sangat luas dan melibatkan banyak kementerian lain.
“RUU juga itu juga akan dihantar semula kepada Jabatan Peguam Negara (AG) dalam masa terdekat untuk semakan lanjut.
“Ini bagi memastikan apa yang dihantar memenuhi keperluan semasa dan mengambil kira isu-isu baharu yang timbul dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melancarkan Program Sanjungan Ilmu Anjuran Institut Sosial Malaysia (ISM), di sini, hari ini.
“Kami masih memberi tumpuan dan menyelesaikan beberapa persoalan yang diberikan AG semasa penyerahan draf terdahulu.
“Walau bagaimanapun, kami berusaha untuk mempercepatkan usaha ini supaya dapat disiapkan mengikut jadual dan dibentangkan di Parlimen Julai ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette