Kumar menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas dalam empat serbuan, pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Sindiket pengedaran dan pembungkusan dadah yang beroperasi sejak Disember tahun lalu tumpas dalam operasi khas yang dijalankan Polis Johor, baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, sindiket berkenaan turut aktif menghasilkan dokumen palsu seperti kad pengenalan, lesen memandu serta not wang kertas ringgit Malaysia.

Katanya, sebuah kondominium dan rumah teres turut diserbu dalam operasi dijalankan di empat lokasi sekitar daerah ini antara pukul 1.15 tengahari pada 13 Januari lalu hingga 7.50 pagi keesokan harinya.

Menurut beliau, kondominium dalam kawasan berpagar dan mempunyai pengawal keselamatan itu adalah merupakan sebuah inap desa manakala rumah teres berkenaan disewa sindiket tersebut.

Tambah Kumar, pihaknya turut merampas dua kereta yang digunakan suspek.

Menurut beliau modus operandi sindiket tersebut adalah menjadikan kenderaaan dan kondominium sebagai stor penyimpanan serta pembungkusan semula dadah untuk pasaran sekitar daerah ini.

“Kereta berkenaan melibatkan sebuah kereta Honda City yang disewa suspek untuk kegunaan mereka manakala sebuah lagi adalah Proton Waja yang merupakan kereta curi dan dilaporkan hilang pada 2023 di Kajang, Selangor.

“Dua ahli sindiket berumur 30 dan 33 tahun itu ditahan bersama-sama dadah disyaki jenis ekstasi bernilai RM3.68 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Katanya, rampasan dadah itu melibatkan 21,811 gram serbuk ekstasi bernilai RM3,642,437; 1.40 gram syabu (RM154) dan 40.28 liter cecair disyaki dadah (RM40,280).

“Selain rampasan ini (dadah) apa yang menarik pihak polis telah merampas peralatan disyaki digunakan untuk buat dokumen palsu di salah satu premis.

“Antara rampasan tersebut adalah 13 keping kad pengenalan dan lesen memandu disyaki palsu, 18 wang palsu RM20, RM10 dan RM100 selain 10 kad bank palsu, geran kenderaan palsu, peralatan mencetak kad dan wang tunai palsu,” ujarnya.

Pihaknya turut menyita wang tunai RM400, wang tunai asing Kemboja Riel KHR222,000 (RM247.40) dan seutas jam tangan jenama Polo Britannia (RM200).

Beliau memberitahu, jumlah sitaan adalah RM847.40 sementara jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan RM3,683,718.

Kumar berkata, hasil saringan air kencing mendapati dua suspek positif dadah dan mempunyai rekod jenayah serta dadah.

Malah katanya, seorang suspek mempunyai rekod dikehendaki bersabit Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah.

Semua suspek katanya, direman 12 hari bermula 14 hingga 24 Januari ini untuk membantu siasatan lanjut bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan.

Tambahnya, siasatan lanjut akan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Johor Bahru bawah Seksyen 489b dan 468 Kanun Keseksaan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here