PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Razak berpendirian, percutian keluarga atas kapal layar mewah bersama kerabat diraja Arab Saudi merupakan hal peribadi yang tidak perlu disertai pegawai Wisma Putra.
Bekas Perdana Menteri memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, pegawai Wisma Putra tidak perlu menemani beliau sekeluarga kerana tindakan itu kelihatan janggal.
Menurut Najib, pada mulanya ia adalah percutian keluarga semata-mata sebelum beliau dijemput ke kapal layar Putera Turki untuk minum petang yang turut disertai isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan anaknya, Nor Ashman Razak, Nooryana Najwa, serta Riza Aziz dan kenalannya, Tan Sri Bustari Yusuf.
Menurut Najib, sesi minum petang atas kapal mewah itu bagi memenuhi jemputan kerabat Arab Saudi, Putera Turki bin Abdullah Al-Saud, jadi tidak munasabah untuk membawa sama pegawai kerajaan menyertainya.
“Tidak masuk akal (membawa pegawai kerajaan bersama), saya sedang bercuti. Apabila saya bercuti, Wisma Putra tidak perlu terlibat, saya berada di sana bersama keluarga.
“Anda tidak mahu pegawai kerajaan berada di sana bersama apabila anda berehat. Mereka pasti berasa janggal kerana tahu mereka menceroboh percutian anda, ke dalam urusan peribadi anda,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada prosiding bela diri di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Najib, 71, menjawab empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.
Menurut Najib, beliau bertemu Putera Turki pada hari kedua atau ketiga percutian itu apabila dimaklumkan beliau sekeluarga diundang untuk menyertai minum petang di atas kapal layar yang terletak berhampiran.
Katanya, beliau terkejut dengan jemputan itu kerana Putera Turki adalah anak kesayangan Almarhum Raja Abdullah, iaitu Raja Arab Saudi yang memerintah ketika itu.
Jelasnya, mereka disambut oleh Putera Turki dan seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Tarek Obaid, dan beliau menyedari bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low sudah berada di sana.
Bagaimanapun, Najib menafikan bahawa dalam pertemuan itu, Putera Turki dan Jho Low merangka rancangan supaya 1MDB dan PetroSaudi International Limited menjalin usaha sama untuk menyeleweng berbilion ringgit.
Perbicaraan di Istana Kehakiman bersambung petang. – MalaysiaGazette.