PTimbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada wartawan semasa sidang media selepas merasmikan program pada Konvensyen Pegawai Lapangan RISDA 2025 di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 23 JANUARI 2025.

BANGI – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi enggan mengulas berhubung langkah Jabatan Peguam Negara (AGC) yang ingin meneruskan permohonan bagi mendapatkan perintah mahkamah supaya mengeluarkan perintah larangan bersuara (gag order) menghalang orang ramai membincangkan titah adendum bekas perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun, Presiden UMNO itu berkata, beliau hanya akan menjawab mengenai isu itu pada masa lain.

“Saya akan bercakap pada waktu lain,” katanya ringkas ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen Pegawai Lapangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) 2025, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ditanya pemberita sama ada UMNO akan membincangkan mengenai permohonan AGC itu.

Pada 16 Januari lalu, pejabat Peguam Negara memaklumkan akan meneruskan permohonan mendapatkan perintah mahkamah bagi mengeluarkan perintah larangan bersuara menghalang orang ramai membincangkan titah adendum Najib.

Memetik laporan media, Timbalan Ketua Bahagian Sivil AGC, Shamsul Bolhassan dipetik berkata, permohonan akan diteruskan sehingga ada arahan sebaliknya.

Pada 13 Januari lalu, Peguam Kanan Persekutuan itu dilaporkan berkata, pihaknya akan memfailkan permohonan perintah larangan bersuara berkenaan pada 20 Januari ini bagi melindungi institusi diraja memandangkan perkara berkenaan menyentuh isu sensitif iaitu raja, agama dan kaum (3R).

Pada 15 Januari pula, jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata, Jemaah Menteri tidak pernah mengarahkan AGC memfailkan permohonan itu.

Pada 6 Januari lalu, Najib mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab atau mengesahkan kewujudan titah adendum Januari 2024.

Titah adendum itu dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong terdahulu, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah kepada Najib untuk menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah atas kesalahan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Keputusan itu dicapai melalui penghakiman majoriti 2-1 oleh Hakim Mahkamah Rayuan Azhahari Kamal Ramli dan Mohd Firuz Jaffril, dengan Azizah Nawawi membuat keputusan berbeza.

Justeru, mahkamah memerintahkan kes semakan kehakiman itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi supaya merit semakan didengar dan diputuskan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here