KUALA LUMPUR – Seramai 38 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur dalam operasi di sebuah penempatan di Kampung Baru, di sini awal pagi tadi.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, tangkapan dibuat hasil risikan selama dua minggu berdasarkan aduan penduduk setempat susulan kebanjiran warga asing.
“Mereka yang diitahan melibatkan 24 lelaki dan 14 wanita berusia antara 20 hingga 50-an yang terdiri daripada 36 warga Indonesia dan dua warga Thailand.
“Kesemua yang ditahan akan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Kuala Lumpur bagi proses dokumentasi dan tindakan tindakan lanjut,” katanya selepas tamat operasi terbabit.
Tambahnya, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imgresen 1959/53 kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan dan tinggal lebih masa.
Terdahulu, seramai 35 pegawai Imigresen terlibat dalam Op Sapu KL Strike Force bermula jam 2.30 pagi dengan ada PATI yang nekad terjun dari bangunan bagi meloloskan diri dari pihak berkuasa. – MalaysiaGazette