Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani melakukan pengujian dan pemeriksaan semasa lawatan Projek Aerotrain KLIA yang akan beroperasi semula di Sepang. Foto AIZAT ZAINAL, 24 JANUARI 2025.

SEPANG – Perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi (Aerotrain) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini dijadualkan siap sepenuhnya pada suku kedua tahun ini.

Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, sasaran itu boleh dicapai berdasarkan kemajuan keseluruhan projek Aerotrain kini mencecah 85.4 peratus setakat ini.

“Aerotrain sedang menjalani ujian pengesahan komprehensif terhadap keperluan keselamatan, operasi dan prestasi ketat kini mencecah 25 peratus dan dijangka selesai menjelang Jun 2025.

“Fasa kritikal ini memastikan sistem memenuhi keselamatan dan prestasi tertinggi piawaian menjelang permulaan perkhidmatannya pada suku kedua 2025,” katanya pada sesi taklimat media dan lawatan ke projek Aerotrain di KLIA 1, di sini, hari ini.

Mengikut rekod, Aerotrain KLIA dirancang sebagai projek tiga tahun yang bermula pada Mac 2022, namun mengalami kelewatan disebabkan Malaysia Airports menaiktaraf fasiliti sedia ada termasuk laluan utama.

Sebelum ini, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sudah menandatangani Letter of Agreement (LOA) dengan ALSTOM Transport Systems (Malaysia) Sdn Bhd (Alstom) dan JV IJM Construction Sdn Bhd, Pestech Technology Sdn Bhd (IJMC-Pestech JV) pada 12 Januari 2024.

Berdasarkan analisis, pihak MAHB menjangkakan kos terkini mencecah RM456.1 juta.

Projek Aerotrain KLIA melibatkan pembelian sembilan gerabak dengan setiap satunya boleh menampung sehingga 90 penumpang dan 270 orang bagi setiap perjalanan.

Selain itu, katanya, Aerotrain kini sedang menjalani 80 ujian kritikal, termasuk Ujian Dinamik, Ujian Antara Muka Ujian dan Ujian Integrasi Sistem (SIT).

“Ujian terakhir ialah Fault Free Run (FFR) yang memerlukan Aerotrain pertama bergerak lebih 2,000 kilometer (km) tanpa sebarang kegagalan, manakala dua lagi Aerotrain sejauh 1,000km tanpa sebarang kegagalan,” katanya.

Menurut Mohd Izani, semua ujian dan pemeriksaan ciri keselamatan dijalankan di bawah seliaan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“APAD akan mengesahkan pematuhan dan mengesahkan kesediaan sistem untuk kelulusan dan permulaan operasi penuh.

“Bagaimanapun ia tertakluk kepada keperluan kelulusan daripada APAD dan Kementerian Pengangkutan (MOT),” katanya.

Ketika ditanya tentang kelewatan menyiapkan projek Aerotrain boleh menjejaskan Mesyuarat dan Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN, Mohd Izani berkata, ia tidak menjejaskan k kelancaran acara itu.

“Projek Aerotrain tidak memberi kesan kepada acara ini kerana delegasi dibenarkan menggunakan Balai Ketibaan Bunga Raya di KLIA1,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Asyik kena jawab mengenai aerotrain, Loke tak gembira

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here