KUALA LUMPUR – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melancarkan Op Prihatin dalam dua fasa untuk tahun ini bermula 25 Januari hingga 2 Februari untuk Perayaan Tahun Baru Cina dan fasa kedua 29 Mac hingga 6 April bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Operasi itu akan dianggotai seramai 1,416 pegawai dari 14 pejabat negeri dan 118 pejabat daerah APM.
Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan), Datuk Ismail Mohd Zawawi berkata, pelaksanaan ini adalah langkah proaktif untuk membantu agensi penguatkuasaan lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Khususnya dalam menguruskan kesesakan jalan raya dan menangani insiden yang tidak diingini.
“Matlamat kami adalah memberikan rasa selamat dan selesa kepada rakyat yang ingin pulang ke kampung atau bercuti bersama keluarga sempena perayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Op Prihatin sempena Perayaan Tahun Baru Cina APM di Balakong, Selangor, hari ini.
Dalam pada itu, APM akan turut mengedarkan satu pelekat khas untuk kenderaan yang boleh diimbas sekiranya berlaku kecemasan.
“Di situ, kita akan dapat melihat panduan awal dan arahan keselamatan sekiranya berlaku apa-apa kejadian,” tambahnya.
Setakat tahun lalu, APM telah mencatatkan 374 kes bantuan, termasuk kemalangan jalan raya (79), pokok tumbang (19), penyelamatan haiwan (59) dan kes pembaikan kecil (118).
Pihaknya akan terus komited untuk membantu masyarakat pulang beraya dengan selamat dan tenteram serta menyeru pengguna jalan raya untuk lebih berwaspada dan mematuhi undang-undang.
“Semoga masyarakat akan kembali ke kampung halaman atau bercuti dengan tenang.
“Namun sekiranya berlaku kecemasan, kami akan sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan dengan segera,” ujarnya. – MalaysiaGazette