KUANTAN – Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki 47 laras senjata tiruan pelbagai model berserta peluru tiruanĀ
Tertuduh, Wan Ahmad Al Hafiz Wan Ali, 36 membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.
Mengikut kertas pertuduhan, dia yang merupakan bekas peniaga barang mainan dalam talian didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 2 Januari 2025 di sebuah kediaman di Perumahan Indera Pura Jaya, di sini.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960, Akta 206 Tahun 1960 yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Majistret Tengku Eliana membenarkan ikat jamin berjumlah RM3,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 20 Februari depan untuk sebutan semula dan hukuman.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Deevagan Naifu A/L Baskaran, manakala tertuduh diwakili peguam, Muhamad Saifuldin Ab Rahman. – MalaysiaGazette