Dominic pada sesi temu bual khas bersama media, di Ibu Pejabat Parti Gerakan, di Menara PGRM, di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR – Tiada wakil yang membawa suara rakyat di Parlimen menjadi salah satu sebab timbul persepsi Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dilihat tidak agresif sebagai salah satu komponen parti dalam pembangkang.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai yang mengakui perkara itu berkata, wakil-wakil rakyat sememangnya mempunyai platform masing-masing dan disebabkan itu apa yang disuarakan turut mewakili parti.

“Persepsi kerana kita tidak ada YB…kita tak ada ahli Parlimen. Memanglah ahli Parlimen ada platform masing-masing…jadi, mereka boleh beri pendapat, pandangan dan suara bantahan di Dewan Rakyat.

“Sebab itu media nampak mereka lebih agresif. Tapi, jika lihat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah itu ada seoranglah (ADUN)…seorang Cina sahaja, jadi boleh nampak dia,” katanya pada sesi temu bual khas bersama media, di Ibu Pejabat Gerakan di sini, hari ini.

Untuk rekod, kerusi DUN Kulim disandang oleh Wong Chia Zhen yang merupakan satu-satunya wakil rakyat tunggal dari parti Gerakan dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Wong menjadi satu-satunya calon bukan Melayu yang mewakili PN dan menang di DUN tersebut dengan majoriti 7,742 selepas meraih 23,278 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Teh Lean Ong yang hanya meraih 15,536 undi.

DUN Kulim satu-satunya kerusi dimenangi Gerakan berbanding keseluruhan 37 kerusi yang diwakili calon parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah.

Sementara itu Dominic menepis dakwaan sesetangah pihak yang mengatakan Gerakan hanya sebuah parti yang berpaut kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas dalam pembangkang.

Katanya, dalam PN semua parti gabungan mempunyai peranan masing-masing yang perlu dimainkan mengikut kaum dan sebagaiya.

“Memang persepsi ini diadakan (ditimbulkan) bahawa Gerakan itu hanya boleh menang dengan sokongan Pas dan Bersatu..saya memang tahu.

“Kita nampak yang Pas dan Bersatu menang semua kawasan majoriti orang Melayu, maksudnya dari perspektif saya nampak semua lapisan kita ikut kaum.

“Memang orang Melayu sokong PN dan bukan Melayu pula sokongan kepada PN kurang lagi dan kita mesti berusaha,” katanya.

Mengimbau setiap pilihan raya yang berlaku sebelum ini, Dominic memberitahu, gabungan parti-parti dalam PN sememangnya mempunyai perjuangan masing-masing.

“Bersatu memperjuangkan orang Melayu, Pas perjuangkan kepada orang Islam manakala, Gerakan tarik sokongan bukan Islam dan bukan Melayu.

“Jadi, yang kita (Gerakan) tak dapat sokongan yang baik lagi adalah dari orang bukan Islam dan bukan Melayu. Inilah persepsi (yang dimain),” ujarnya.

Dominic turut menegaskan, bahawa Gerakan mempunyai kekuatan sendiri kerana parti itu bukannya baharu, sebaliknya telah wujud sejak 57 tahun lalu.

Tambah beliau, Gerakan mempunyai organisasi sama seperti parti-parti lain yang memiliki kekuatan sama ada di peringkat cawangan, bahagian dan di negeri-negeri.

Beliau turut mengharapkan agar parti yang dipimpinnya itu akan mendapat sokongan lebih banyak lagi menerusi naratif Baharu yang ditonjolkan parti itu. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here