KUALA LUMPUR – Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai menafikan memecat Loh Kah Yong sebagai Setiausaha Agung Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) sebaliknya, menyatakan pertukaran itu ‘sebagai proses biasa demi kebaikan parti’.
Presiden Gerakan itu berkata, Setiausaha Agung Gerakan yang baharu Wong Chia Zhen yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim, dilihat mampu memberikan komiten lebih baik memandangkan beliau merupakan wakil rakyat tunggal parti ketika ini.
“Saya nampak ada banyak cabaran pada tahun ni. Pertama, kita mesti hadapi PRN Sabah dan kedua, jika kita nak menang PRN dan PRU, kita mesti ada setiausaha agung yang boleh memberi komitmen lebih baik di platform yang sesuai dalam komponen parti.
“ADUN Kulim, dia (ada) bersama YB lain, exco lain untuk bincang pendirian Gerakan, ini nampak lebih senang dan sesuai,” katanya pada sesi temu bual khas di Ibu Pejabat Gerakan di Menara PGRM, di sini, hari ini.
Dominic berkata demikian ketika diminta mengulas tindakannya menukar setiausaha agung ketika parti itu mengumumkan naratif baharu mereka yang antara lain mahu memperkasa golongan muda.
“Jadi, saya kena memperkasa orang muda bagi lebih banyak platform untuk orang muda…kerana setiausaha agung dan bendahari adalah lantikan presiden. Saya tak boleh tukar timbalan presiden kerana mereka dipilih.
“Kita rasa Wong lebih komited, sesuai dan boleh sepenuh masa,” jelasnya.
Untuk rekod, Kah Yong dilantik pada 9 September 2023 iaitu selepas pemilihan parti sebelum ini.- MalaysiaGazette