KUALA LUMPUR – Menawarkan perkhidmatan rawatan pesakit melalui doktor warga Bangladesh yang tidak bertauliah dengan mensasarkan warganegaranya.
Itu modus operandi yang dikesan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi serbuan di 10 lokasi di ibu negara disyaki beroperasi sebagai klinik secara haram sejak setahun lalu.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi khas bermula jam 11.45 pagi itu dijalankan di enam lokasi di Jalan Tun Tan Siew Sin, dua di Leboh Pudu, dan satu di Jalan Silang semalam.
“Hasil aduan awam dan maklumat risikan selama dua minggu, pasukan operasi diatur gerak ke lokasi premis perniagaan dengan menahan 10 lelaki warga Bangladesh berusia diantara 31 hingga 50 tahun.
“Hasil semakan awal mendapati, seorang yang ditahan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sektor perkhidmatan, (6) memiliki PLKS Sektor Pembinaan, (2) tinggal lebih masa.
“Manakala seorang lagi tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, semakan lanjut mendapaati kegiatan terbabit berselindung di sebalik kedai makan atau kedai runcit bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Ubat-ubatan yang dijual tidak berdaftar dan tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM) yang dibawa masuk oleh warga Bangladesh sebagai pelancong dengan bayaran RM200 hingga RM500 setiap seorang.
“Bayaran rawatan dan penjualan ubat-ubatan pula dikenakan sebanyak RM50 hingga Rm200 bagi setiap pelanggan warga Bangladesh dan telah beroperasi selama setahun,” ujarnya.
Susulan itu katanya, JIM telah merampas peralatan doktor palsu, ubat-ubatan dan wang tunai berjumlah RM800 dipercayai adalah hasil rawatan dan jualan ubat.
“Pada masa sama, KKM turut merampas 502 jenis ubat tidak berdaftar dengan nilai rampasan dianggarkan sebnyak RM265,192.
“Kesemuanya disyaki melakukan kesalahan di bawah Sek.13(a) Akta Racun 1952, Perkara 3(1) Peraturan-Peraturan Racun (Bahan- bahan Psikotropik) 1989, dan Perkara 7(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” jelasnya,
Tambah beliau, kesemua warga asing itu ditahan dibawah Akta Imigresen 196/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta dibawah ke Depot imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
Manakala dua lagi warga Bangladesh dan enam perempuan tempatan telah diberi notis untuk hadri ke pejabat bagi membantu siasatan kes terbabit.
Terdahulu, operasi terbabit idijalankan oleh sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama pegawai dari Bahagian Penguatkuasa (Farmasi) KKM Kuala Lumpur dan Putrajaya. – MalaysiaGazette