Balveer Singh menunjukkan barang yang dirampas selepas menahan dua lelaki, selepas sidang akhbar di IPD Johor Bahru Utara, Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Dua lelaki termasuk seorang daripadanya mempunyai 20 rekod lampau ditahan selepas tidak sampai 24 jam melakukan pecah rumah di Taman Skudai Baru di sini pada 21 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, kejadian tersebut dilaporkan mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 28 tahun.

“Semasa kejadian pada awal pagi, mangsa yang bekerja di Singapura tidak bekerja pada hari itu dan ada di rumah namun tidak menyedari rumahnya dipecah masuk.

“Mangsa hanya menyedari rumahnya dipecah masuk apabila mendapati sebuah komputer riba, telefon bimbit, seutas gelang emas dan dua topi keledar hilang.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis pada pukul 10.33 pagi hari kejadian,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara di sini hari ini.

Katanya, siasatan pihak polis di rumah mangsa mendapati pintu grill telah dirosakkan serta pintu hadapan rumah telah terbuka.

Beliau berkata, menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pula menunjukkan kejadian berlaku pukul 5.45 pagi memaparkan seorang lelaki berpakaian baju warna oren, bertopeng dan bersarung tangan menceroboh serta menggeledah rumah mangsa.

Hasil risikan maklumat katanya, pihak polis menangkap dua lelaki warga tempatan berusia 22 dan 27 tahun di kawasan Larkin di sini pada pukul 11.30 hari kejadian.

Balveer Singh berkata, menerusi serbuan itu pihaknya merampas antaranya komputer riba, kereta milik suspek, beg silang, jam tangan, sepasang subang dan seutas gelang tangan kayu.

Beliau berkata, dengan tertangkap kedua-dua suspek berusia 22 dan 27 tahun pihaknya berjaya menyelesaikan kes pecah rumah tersebut selepas enam jam berlaku.

Menurutnya, hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine manakala semakan suspek berusia 22 tahun mempunyai 20 rekod lampau kesalahan dadah dan jenayah.

Siasatan katanya, masih dilakukan sekiranya ada suspek lain yang terlibat.

“Modus operandi mereka adalah dengan merosakkan kunci dan pagar utama rumah dengan menggunakan spanar yang diambil dalam kawasan halaman rumah tersebut.

“Mereka menyasarkan rumah yang tidak berkunci, rumah yang ditinggalkan dan juga dipercayai mereka yang bekerja di Singapura,” ujarnya.

Dengan penangkapan kedua-dua suspek, pihaknya percaya dapat menyelesaikan empat kes pecah rumah dan curi yang dilaporkan sejak awal bulan ini di kawasan Johor Bahru Utara.

Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39C(1)(b) Akta Dadah Berbahaya 1952.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here