JOHOR BAHRU – Dua sahabat dituduh secara berasingan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengedar dadah berbahaya, minggu lalu.
Tang Leang Yee, 34, didakwa dengan dua pertuduhan mengedar serbuk MDMA dengan anggaran berat kasar keseluruhan 56,301 gram.
Leang Yee faham akan pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin itu dihadapan Majistret Chai Ing Hien.
Namun tiada pengakuan direkodkan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta sebuah apartmen di Jalan Tebrau 1 di sini pukul 2.10 pagi, pada 14 Januari lalu.
Sementara itu, di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid, Eric Lim Weyshong, 31, didakwa mengedar dadah jenis MDMA dengan anggaran berat kasar 2,160 gram di sebuah apartment di sini, pukul 1.15 petang, pada 13 Januari lalu.
Tiada pengakuan juga direkodkan oleh tertuduh yang faham pertuduhan tersebut.
Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.
Mereka berdepan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan sehingga 15 kali, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin, Leang Yee menghadapi dua pertuduhan mengedar dan memiliki dadah berbahaya.
Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa mengedar cecair MDMA dengan anggaran isipadu kasar 3,630 mililiter (mm) di hadapan sebuah rumah di Jalan Jelita 9, Taman Pelangi Indah di sini, pukul 12.10 tengah malam, 14 Januari lalu.
Leang Yee faham akan pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin itu, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan.
Bagi pertuduhan kedua, Leang Yee didakwa memiliki methamphetamine dengan anggaran berat kasar 1.40 gram, di lokasi dan pada waktu dan tarikh yang sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) ADB 1992 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama dan Seksyen 12(2) ADB 1952 boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama.
Tertuduh turut berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM100,000, jika sabit kesalahan.
Pada masa sama, Eric turut berdepan tiga pertuduhan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Thalha Bachok @ Embok Mok.
Dia mengaku tidak bersalah bagi tiga pertuduhan memiliki keseluruhan tiga keping mata wang kertas not RM20 yang diketahui bahawa ianya palsu di sebuah apartment dekat Bukit Senyum di sini, pukul 1.15 petang, 13 Januari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nik Noratini Nik Azman, Siti Aishah Latif dan Maisarah Hassan, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada sebarang jaminan dibenarkan dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 26 Februari, 10 Mac dan 17 Mac depan bagi serahan dokumen dan sementara menunggu laporan kimia.
Semalam, media melaporkan, satu sindiket pengedaran dadah bukan sahaja bertindak membungkus semula dan mengedar dadah, malah turut menjalankan aktiviti pemalsuan dokumen seperti kad pengenalan, lesen memandu dan not wang tunai.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar dilaporkan berkata, kegiatan sindiket yang dipercayai aktif sejak Disember tahun lalu terbongkar selepas polis berjaya membuat empat serbuan di sekitar bandar raya ini antara pukul 1.15 tengah hari, pada 13 Januari hingga pukul 7.50 pagi, 14 Januari lalu sebelum menahan dua lelaki tempatan berusia 30 dan 33 tahun yang dipercayai ahli sindiket.
Dalam semua serbuan itu, polis merampas dadah yang dianggar bernilai lebih RM3.68 juta selain merampas kad pengenalan, lesen memandu, not wang kertas, kad bank dan geran kenderaan yang semuanya disyaki palsu.- MalaysiaGazette