KUALA LUMPUR – Hukuman denda RM5,000 yang diputuskan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap pemimpin PKR Sarawak, Iswardy Morni disifatkan terlalu ringan berbanding kesalahan yang dilakukannya.
Sehubungan itu, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menggesa Peguam Negara untuk memfailkan rayuan supaya hukuman setimpal dapat dikenakan terhadap pemimpin terbabit.
Tegas beliau, jika tiada rayuan difailkan, ini menunjukkan kerajaan seolah-olah mahu dilihat mempelekehkan raja-raja Melayu yang merupakan institusi tertinggi di negara ini.
“Bandingkan hukuman ini dengan hukuman yang dikenakan ke atas buruh dan suri rumah yang masing-masing dihukum penjara enam dan lapan bulan atas kesalahan serupa.
“Perbezaan ini menimbulkan persoalan besar mengenai keadilan serta ketelusan dalam pelaksanaan undang-undang.
“Adakah status politik atau kedudukan sosial menjadi faktor yang mempengaruhi hukuman?”
“Kegagalan Peguam Negara mewakili kerajaan untuk memfailkan rayuan terhadap hukuman ringan ini hanya akan menambah persepsi bahawa kerajaan tidak serius mempertahankan institusi tertinggi negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam media melaporkan, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mendenda Iswardy yang juga merupakan seorang aktivis sebanyak RM5,000 kerana menyiarkan kenyataan berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong di laman Facebooknya empat tahun lepas.
Hakim Datuk M. Edwin Paramjothy turut memerintahkan pemimpin PKR Sarawak berusia 48 itu dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.
Dalam penghakimannya, hakim itu menyatakan bahawa kenyataan itu ditujukan kepada Yang di-Pertuan Agong ketika itu Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.-MalaysiaGazette