JOHOR BAHRU -Jumlah kerugian akibat jenayah komersial di Johor merekodkan penurunan sebanyak 30 peratus kepada lebih RM181 juta tahun lalu berbanding RM261 juta yang dicatatkan tahun sebelumnya.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, perkembangan positif itu adalah hasil daripada pelbagai program pencegahan yang dijalankan Jabatan Siasaran Jenayah Komersial (JSJK) Polis Kontinjen Johor terutama melibatkan modus operandi dan trend terkini.
Bagaimanapun kata Kumar, jumlah kes menunjukkan peningkatan sebanyak 27 kes, yang mana pada tahun lalu 4,290 kertas siasatan dibuka berbanding 4,263 pada tahun sebelumnya.
Tambah beliau, perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) juga mendorong evolusi teknik penipuan dalam talian menjadikan semakin canggih dan sukar dikesan.
Perkembangan tersebut terutama melibatkan jenayah siber dan scammer sudah menjadi satu trend jenayah yang semakin membimbangkan sekarang ini.
“Saya menyeru kepada masyarakat agar berhati-hati apabila berurusan secara atas talian kerana ianya memberi ruang kepada ancaman siber.
“Jangan lalai daripada sudut mendedahkan data peribadi dan jangan terpengaruh dengan janji manis pelaburan dengan menjanjikan keuntungan lumayan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Dalam pada itu, sepanjang tahun lalu Cawangan Khas Johor merekodkan kejayaan besar menerusi siri operasi menumpaskan elemen kontraban, mengelak cukai dan menangani isu cap dagangan palsu, dengan rampasan bernilai hampir RM7.76 juta.
Jabatan Siasatan Jenayah Johor juga ujar beliau, melaporkan kejayaan besar dalam menyelesaikan pelbagai kes jenayah konvensional.
Antaranya 444 kertas siasatan kes samun dibuka dengan 260 kes berjaya diselesaikan, dan 108 kes dituduh di mahkamah, katanya.
Kumar memaklumkan, sebanyak 166 kes kontraban dilaporkan dengan rampasan bernilai RM18.25 juta dan tangkapan 256 individu.
“Begitu juga kes pelacuran yang mana sebanyak 677 serbuan dilakukan dengan 3,133 tangkapan dan rampasan RM303,477. Daripada jumlah itu 620 kes berjaya dituduh di mahkamah.
“Bagi kes perjudian, sebanyak 2,273 operasi dijalankan, dengan 3,008 tangkapan dan rampasan bernilai RM806,580,” katanya.
Jelas Kumar, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) turut menunjukkan prestasi dengan menangkap 25,065 individu atas pelbagai kesalahan dadah pada 2024 dengan rampasan dadah seberat 7.30 tan bernilai RM99.76 juta.
Jabatan itu katanya, turut menyita aset sindiket dadah bernilai RM17.23 juta dan berjaya menumpaskan 25 sindiket pengedaran dadah.
“Tindakan tegas terhadap penagih berulang di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 menyaksikan 739 tangkapan dilakukan. Sementara 139 tangkapan dibuat di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) ADB 1985,” tambahnya.- MalaysiaGazette