NIBONG TEBAL – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang kini sedang menjalankan siasatan berhubung kemalangan maut melibatkan seorang pekerja sub kontraktor di tapak pembinaan dewan serbaguna di Simpang Ampat di sini.
JKKP Pulau Pinang dalam kenyataan berkata, lelaki warga asing berusia 28 tahun itu dilaporkan maut selepas ditimpa bumbung zink yang dipindahkan dari lori ke tapak pembinaan menggunakan kren bergerak kira-kira jam 9.45 pagi, pada 20 Januari lalu.
Jelasnya, sepasukan pegawai penyiasat telah ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan sebaik sahaja menerima pemberitahuan mengenai kes kejadian tersebut.
“Berdasarkan siasatan awal, kejadian berlaku apabila ikatan zink bumbung pada cangkuk kren tersebut terbuka secara tiba-tiba, menyebabkan bumbung zink terjatuh dan menghempap mangsa yang berada berdekatan.
“Mangsa yang juga pekerja dari syarikat sub kontraktor yang dilantik untuk memasang bumbung pada dewan serbaguna tersebut dikejarkan ke hospital namun disahkan meninggal dunia pada hari yang sama akibat kecederaan parah,” katanya hari ini.
Tambah kenyataan itu, JKKP telah mengeluarkan notis pemberhentian kerja serta merta di kawasan tapak pembinaan tersebut sehingga siasatan selesai.
“Majikan juga diminta menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian serta mengemukakan langkah penambahbaikan yang diperlukan.
“Kita akan mengambil tindakan susulan dengan merakam percakapan saksi yang terlibat dan mengumpul dokumen berkaitan selain melakukan lawatan susulan kawasan tersebut.
“Sekiranya siasatan mendapati wujud pelanggaran peraturan keselamatan, tindakan perundangan di bawah Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Pindaan) 2022 akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab,” katanya. – MalaysiaGazette