Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir bagi menunaikan solat jumaat bersama pelajar dan kakitangan Pusat Islam Universiti Teknologi Mara (UITM) Campus Dengkil hari ini. Foto MUHAIMIN MARWAN, 24 JANUARI 2025

SEPANG – Datuk Seri Anwar Ibrahim terbuka dengan keinginan golongan muda untuk mengadakan Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang dijadual berlangsung di ibu negara esok.

Perdana Menteri berkata, kebenaran telah diberikan namun pihak terbabit perlu mematuhi peraturan yang telah ditetapkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

“Kita tidak ada masalah, kebenaran sudah diberikan. Menteri Dalam Negeri sebut kebenaran diberikan, cuma ada tempat-tempat yang tidak diberikan kebenaran. Bagi saya tidak ada masalah, buatlah, nak bantah-bantahlah rasuah,” tegas Anwar kepada media.

Beliau ditemui selepas makan tengah hari dan menunaikan solat Jumaat bersama kakitangan dan mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dengkil, di sini hari ini.

Anwar menegaskan beliau komited dalam melawan rasuah membabitkan semua golongan dari peringkat bawahan hinggalah atasan.

Perdana Menteri berkata, pentadbiranya selama dua tahun tidak bertolak ansur terhadap amalan rasuah namun begitu terdapat beberapa isu yang tidak dapat diselesaikan kerana ia adalah isu lama termasuk membabitkan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman.

“Ini saya tekankan dalam mesyuarat Kabinet, kalau nak bangkit soal-soal lama yang ditutup masa mereka (kerajaan terdahulu), nak suruh saya ambil tindakan. Tindakan apa?

“Ada (isu) yang dibangkitkan adalah mengenai Tun Musa Aman, (kes) itu dilepaskan masa (pentadbiran) mereka.

“Semasa pentabiran saya, minta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia buka balik fail, dia kata tak boleh teruskan. Jadi macam mana saya hendak dihujat, dikecam dalam soal yang saya tidak terlibat.

“Yang saya terlibat dalam tempoh dua tahun, peringkat rendah, tinggi, peringkat atas, kalau ada saya tidak tolak ansur. Nak berhimpun-berhimpunlah,” tegasnya.

Perdana Menteri turut menyindir pihak yang menentang rasuah namun mempertahankan golongan kaya yang menjadikan korupsi sebagai amalan.

“Bila kita bangkitkan soal-soal kehilangan berbilion-bilion tak ada pula yang hendak bersuara. Tak ada pula yang sokong malah ada yang pertahankan pula.

“Kalau kamu orang kaya berbilion ringgit, ramai penyokong-penyokong pertahankan, sekarang nak suruh lawan rasuah.

“Saya komited. Kalau ada mana-mana pimpinan yang terlibat beritahu, tak ada masalah. Kita akan tekan mereka,’ katanya.

Perhimpunan Rakyat Benci Rasuah akan diadakan di ibu negara pada esok bagi meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya generasi muda untuk bersama-sama menentang rasuah.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Universiti Putra Malaysia (UPM), Umar Akhtar Ab Malek berkata, himpunan itu bukan sahaja mampu memberi semangat kepada peserta, tetapi juga menjadi platform penting untuk memupuk rasa benci terhadap rasuah dari peringkat remaja.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here