Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 02 DISEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah memfailkan rayuan berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang memerintahkan pihak berwajib pelarasan pencen mengikut formula sebelum pindaan Akta Penyelarasan Pencen 1980.

Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi memaklumkan kepada media bahawa notis sudah difailkan semalam.

Minggu lepas, mahkamah mengarahkan pencen itu perlu dibayar dalam tempoh tiga bulan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada sekumpulan  pesara kerajaan yang diketuai oleh bekas penjawat awam di Kementerian Luar, Aminah Ahmad.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh ketika membacakan keputusaanya berkata, pekeliling perkhidmatan dikeluarkan pada 2016 memberi kesan terhadap semakan gaji penjawat awam.

Aminah turut mewakili 56 pesara kerajaan lain memfailkan permohonan dengan menamakan Kerajaan Malaysia dan Ketua Pengarah JPA sebagai responden pertama dan kedua.

Aminah memohon perintah mandamus untuk memaksa responden menyegerakan pelarasan pencen kepada amaun kelayakan pencen mengikut formula dalam Seksyen 3 dan 6 Akta Penyelarasan Pencen 1980 sebelum pindaan di bawah Seksyen 3 dan 7 Akta Penyelarasan Pencen (Pindaan) 2013.

Beliau memohon perintah supaya kedua-dua responden melaksanakan pembayaran tunggakan pencen kepada mereka mengikut formula sama dalam tempoh 14 hari atau pada masa yang ditentukan oleh mahkamah.

Selain itu, defendan juga memohon perintah dalam bentuk perisytiharan, iaitu bahawa tindakan responden tidak membayar tunggakan berkenaan adalah tidak konsisten dengan Artikel 4(1), 5(1) (kebebasan diri) dan 8(1) (perlindungan sama rata) Perlembagaan Persekutuan.

Aminah memfailkan saman terhadap kerajaan pada 2017 di atas kapasiti peribadinya dan bagi pihak 56 pesara perkhidmatan awam, dengan mendakwa pindaan kepada Akta Penyelarasan Pencen menyebabkan keadaan yang agak merugikan kepada beliau berbanding skim pelarasan persaraan sebelum ini mengikut Akta Pelarasan Pencen 1980.

Untuk makluman, bawah skim lama, pencen pesara disemak berdasarkan gaji lazim penjawat awam dalam gred berkenaan, bagaimanapun pindaan 2013 yang diperkenalkan adalah berdasarkan kadar rata (flat rate) dua peratus kenaikan tahunan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here