KLUANG – Seorang pekerja ladang menemui mayat lelaki dalam kawasan kebun kelapa sawit di Batu 17 Jalan Kluang-Kahang semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, mayat berkenaan ditemui oleh warga asing itu pada pukul 6.45 petang sebelum memaklumkannya kepada pihak polis.
“Mayat ditemui di Blok 19B, Ladang Sayong Plantation Sdn Bhd di Kahang bersama motosikal berwarna hitam ketika warga asing berkenaan sedang memotong buah kelapa sawit di ladang berkenaan.
“Mayat lelaki berkenaan ditemui dalam keadaan terbaring di tepi jalan berhampiran motosikal yang bersabit dengan laporan bertarikh 15 Januari lalu.
“Pemeriksaan di kawasan sekitar telah menemui barang-barang peribadi serta pakaian dipercayai milik si mati,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Bahrin berkata, mayat kemudiannya dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti identiti sebenar lelaki berkenaan.
Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penemuan mayat itu boleh menyalurkannya kepada mana-mana balai polis berdekatan.
Pada 16 Januari lalu, seorang lelaki warga emas, Lee Siew Hat, 73, yang tinggal di Taman Kahang Baru, Kahang dilaporkan hilang selepas memasuki kebun kelapa sawitnya di Batu 17, Jalan Kluang-Kluang.
Pada, 20 Januari, pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) menutup operasi pencarian selepas lima hari usaha mencari dijalankan.- MalaysiaGazette