JOHOR BAHRU – Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM5,500 terhadap pemandu kereta BMW yang sebelum ini diburu polis apabila menghilangkan diri selepas melanggar sebuah Perodua Aruz the sehingga menyebabkan pemandunya patah tangan, minggu lalu.
Tertuduh, Christopher Lim Ka Hen, 27, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.
Tertuduh yang juga pekerja khidmat pelanggan turut diperintahkan menjalani hukuman penjara selama enam bulan sekiranya dia gagal membayar denda berkenaan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu sebagai pemandu kereta VBN 1189 didakwa memandu kenderaan berkenaan tanpa pertimbangan munasabah orang lain yang menggunakan jalan itu di persimpangan lampu isyarat Jalan Sungai Danga-Jalan Nusa Bestari di sini pukul 3.10 pagi, 17 Januari lalu.
Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan serta lesen memandu diendorse oleh mahkamah, jika sabit kesalahan.
Sebelum hukuman dijatuhkan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan masih bujang dan mempunyai ibu bapa, walaupun tidak menjaganya.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor, Inspektor S Vikineswary.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda itu serta memerintahkan lesen memandu tertuduh diendorskan oleh mahkamah.
Pada 19 Januari lalu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan dilaporkan berkata, pihaknya sedang mengesan pemandu kereta BMW berwarna putih itu bagi membantu siasatan kes kemalangan membabitkan sebuah Perodua Aruz dengan BMW berkenaan.
Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila Perodua Aruz yang bergerak lurus di lampu isyarat berwarna hijau didatangi BMW berkenaan dari arah kanan yang tidak berhenti, lalu melanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) itu di bahagian hadapan sebelah kanan.
Pemandu MPV yang juga lelaki tempatan berusia 26 tahun dilaporkan patah tangan kanan, manakala pemandu BMW menghilangkan diri dari lokasi kemalangan.- MalaysiaGazette