Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan Anugerah President's Award MIPPEA 2024 kepada Presiden Perbadanan Putrajaya Datuk Fadlun Mak Ujud pada Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Perancangan di Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 24 JANUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Datuk Bandar perlu memastikan perancangan dan pembangunan bandar di negara ini  bukan sahaja moden dan canggih, tetapi inklusif dan berteraskan identiti budaya tempatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan, setiap projek pembangunan, walau sekecil war room atau setinggi bangunan pencakar langit, harus dirancang dengan mengambil kira teknologi terkini, aspek hijau, dan keperluan rakyat biasa.

“Datuk Bandar perlu memastikan Kuala Lumpur dan bandar-bandar lain di Malaysia bukan sahaja terkenal dengan mercu tanda megah.

“Tetapi juga dengan gerai, warung, dan restoran rakyat yang tersusun rapi dan bersih. Ini adalah cerminan kesejahteraan rakyat kita,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Anugerah Perancangan 2024 di sini, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Openg.

Anwar Ibrahim memberikan Sijil Penghargaan kepada Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa Majlis Makan Malam dan Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Perancangan 2024 di Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 24 JANUARI 2025.

Beliau turut menggesa supaya perancangan bandar di Malaysia tidak mengabaikan aspek-aspek keseimbangan sosial.

“Hal ini penting bagi bandar-bandar di Malaysia mengelakkan ketidakseimbangan yang meminggirkan golongan berpendapatan rendah.

“Jangan ada kota yang hanya mengutamakan kelompok kaya tetapi mengabaikan rakyat biasa. Datuk Bandar perlu menjadi penggerak kepada pembangunan yang inklusif dan menyeluruh,” tambahnya.

Suasana pada Majlis Makan Malam dan Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Perancangan 2024 di Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 24 JANUARI 2025.

Lantaran itu, kata Anwar,  pembangunan bandar di negara ini juga harus memperlihatkan identiti unik Malaysia supaya tidak menyerupai negara maju lain.

“Penggunaan AI juga digunakan untuk menyusun perancangan bandar yang mesra alam, memastikan keseimbangan antara teknologi canggih dan persekitaran hijau.”

Dalam konteks kerjasama ASEAN, Anwar menyeru agar Datuk Bandar bekerjasama dengan negeri-negeri lain dan negara serantau untuk menjadikan Malaysia sebagai hab tenaga hijau.

“Tugas Datuk Bandar bukan sekadar memastikan pembangunan fizikal, tetapi juga memimpin dalam mempromosikan nilai ihsan dan kemanusiaan dalam perancangan bandar.

“Pembangunan mesti menjaga kebajikan rakyat, tanpa mengira kaum atau latar belakang,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here