Gambar hiasan

BANGKOK- Thailand menafikan dakwaan junta Myanmar bahawa negara itu bersalah atas kepesatan pusat penipuan dalam talian di Myanmar.

Timbalan Perdana Menteri Phumtham Wechayachai berkata, masalah pusat penipuan dalam talian yang tumbuh bak cendawan selepas hujan itu adalah isu rumah yang melibatkan banyak pihak.

Phumtham, yang juga Menteri Pertahanan dalam pentadbiran Paetongtarn Shinawatra, berkata Thailand bukan satu-satunya pihak yang bertanggungjawab kerana sindiket ini beroperasi merentasi sempadan negara.

Beliau menjawab kenyataan rejim tentera Myanmar kepada media tempatan yang mendakwa”jiran” mereka menyukarkan usaha junta membanteras sindiket jenayah tersebut.

Walaupun kerajaan komited bekerjasama dengan pihak berkuasa Myanmar untuk membasmi sindiket penipuan itu, Phumtham berkata isu ini tidak dibincangkan dalam mesyuarat antara pegawai tinggi tentera Thailand dan pemimpin junta Myanmar, baru-baru ini.

Mesyuarat tersebut, katanya, memberi tumpuan kepada isu-isu lain terutamanya berhubung hal ehwal am sempadan. Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan perincian lanjut.

Dalam perkembangan sama, jurucakap Kementerian Pertahanan, Thanathip Sawangsang, berkata Thailand sentiasa memantau aktiviti haram di sepanjang sempadan.

Katanya, kerajaan sentiasa bersedia membantu Myanmar membanteras kumpulan jenayah yang beroperasi di sempadan jika terbukti kumpulan tersebut menggunakan Thailand sebagai pangkalan operasi.

Dalam perkembangan lain, Jawatankuasa Dewan bagi Keselamatan Negara, Hal Ehwal Sempadan, Strategi Nasional dan Reformasi mahu Kementerian Dalam Negeri menjelaskan mengapa masih tidak memutuskan bekalan elektrik ke pusat penipuan di Myanmar, walaupun telah diarahkan oleh pentadbiran Srettha Thavisin.

“Kementerian bertanggungjawab mematuhi keputusan kabinet untuk memastikan penjualan elektrik kepada pihak di Myanmar tidak menjejaskan keselamatan negara Thailand,” kata Rangsiman Rome, Ahli Parlimen Senarai Parti Rakyat, yang juga pengerusi jawatankuasa tersebut.

Setiausaha tetap Kementerian Dalam Negeri, Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Negara (NSC) dan pengurus Pejabat Pihak Berkuasa Elektrik Wilayah (PEA) di daerah Mae Sai, wilayah Tak, telah dijemput ke sesi tersebut.

“Sebenarnya, kementerian telah berkali-kali diberi arahan untuk memutuskan bekalan elektrik ke [pusat penipuan di] Myanmar,” kata Rangsiman.

“Saya tidak faham mengapa sangat sukar bagi PEA untuk bertindak. Memalukan apabila media Myanmar mengatakan Thailand, sebagai pembekal tenaga [kepada pusat penipuan], menyokong jenayah tersebut.

“Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Anutin Charnvirakul seharusnya memberi perhatian serius terhadap perkara ini atau orang awam mungkin menganggap beliau terlibat dengan rangkaian jenayah rentas negara tersebut,” tambah Rangsiman di Parlimen.

Anutin sebelum ini berkata beliau telah meminta PEA untuk menghentikan bekalan elektrik ke rumah atau kemudahan komersial yang disyaki menyalurkan bekalan elektrik kepada kumpulan penipuan di Myanmar.

Namun, PEA menyatakan ia hanya boleh memastikan sama ada kemudahan yang dibekalkan elektrik itu didaftarkan secara sah dengan pihak berkuasa Myanmar.

Penggunaan dan pengedaran elektrik selepas itu, menurut PEA, adalah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan di Myanmar.- Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast